Pengalaman Beraya di Hospital

17.10.2010 (Rabu)

Hari kelapan …

Hari ini hari raya korban.

Usai mandi dan solat, aku hanya memandang sepi sepasang kurung hijau dan tudung berwarna coklat. Dengan hati yang teramat pedih dan sayu … ku gagahkan menyarungkan kurung tersebut ke badanku. Lalu kusapukan sedikit bedak nipis dan kucalitkan sedikit gincu di bibirkan setelah seminggu mukaku ku biarkan polos. Biar ceria sedikit wajah murungkan hari ini, fikirku.

Aku siapkan pula kakak Balqis. Aku pandang dua pasang baju melayu yang tergantung di dalam almari. Baju suamiku dan baju anakku. Aku ambil baju  suamiku dan kutinggalkan baju Qayyum. Dan kucuba tahan tangisan. Pedih. Luluh.

Kemudian, aku menyiapkan makanan yang disediakan oleh mak untuk dibawa ke hospital. Aku tahu mak juga bersedih atas nasib yang menimba cucunya.

Nampaknya tahun ini, kami sekeluarga menyambut raya di hospital. Pertama kali menyambut raya dalam keadaan sedih. Pertama kali pengalaman beraya di hospital. Itupun nasibbaik raya haji. Jika raya puasa … tak dapat aku bayangkan …

Selepas bersalaman dengan abah dan mak, aku harus bergegas ke hospital. Perjalanan dari Paya Jaras ke hospital Cuma mengambil masa 10 minit sahaja tapi entah mengapa hari itu aku rasanya terlalu lama. Perasaan yang berkecamuk cuba aku tenangkan.

Sampai sahaja di perkarangan hospital, aku melangkah laju sambil ditanganku membawa hidangan kegemaran Qayyum  Permintaan Qayyum nak makan sambal, mak dah sediakan nasi impit dan sambal buat cucu kesayangannya.

Sampai sahaja di wad, aku lihat suami sedang memandikan Qayyum. Aku seka air mataku. Bahagia aku melihat mereka berdua. Bergurau dan ketawa. Aku salam tangan suamiku dan ku kucup dahi dan pipi Qayyum sambil menahan tangis lagi. Selamat Hari Raya Abang … Selamat Hari Raya Qayyum.

Sementara suamiku menukar pakaian, aku menyiapkan Qayyum dengan baju raya khas dari hospital yang bewarna hijau. Nampak dia tertawa tanpa baju raya sebenar … aku merasa bahagia. Awalnya, Qayyum tidak membenarkan babahnya hilang dari matanya. Setelah menerangkan bahawa hari itu hari raya dan babah harus solat baru dia mengalah.

Pesanku sebelum suamiku melangkah ke masjid …

“Abang…jangan lupa doakan supaya adik cepat sembuh ye”. Suamiku senyum namun jauh disudut hatinya aku tahu dia juga turut bersedih. Dia perlu kuat depanku supaya aku tidak jatuh lebih teruk lagi.

Pelikkan? Sepatutnya, aku sebagai ibu yang harus menemaninya tapi sebaliknya. Itu permintaan Qayyum sendiri. Aku tahu sebabnya. Dia tidak mahu aku terus-terusan menangis. Dia tahu aku sedang bersedih kerana dia. Oh! Tuhan. Terima kasih kerana Engkau mengurniakan aku seorang anak yang sangat memahami perasaan aku.  Yang dapat membaca isi hatiku. Terima kasih Tuhan.

Aku mohon kebenaran dari pihak hospital untuk membenarkan kakak Balqis menjenguk adiknya. Rindunya pada adik dah 8 hari tak jumpa. Alhamdulillah, doctor benarkan tapi kena jaga kebersihan bimbang dijangkiti virus.

Betapa sukanya adik dan kakak dapat bertemu. Rindu mereka tidak terucap.

Terima kasih buat semua yang sudi melawat dan berhari raya di hospital bersama Qayyum …

Aku sangkakan, beraya di hospital adalah pengalaman pahit namun ternyata manis sekali rupanya. Semua saudara maraku sepakat datang beraya bersama kami di hospital. Ya! Allah. Terima kasih kerana memberi kemanisan ini. Bukan saudara mara sahaja malah kawan-kawan dan jiran tetangga juga turut beraya bersama kami di hospital. Terubat sedikit kepedihan hati ini. Terima kasih sekali lagi Allah. Sesungguhnya disebalik kesedihan yang Engkau berikan, Engkau selitkan kemanisan buat kami sekeluarga. Terima Kasih Tuhan.

Selamat Hari Raya Aidiladha. Doakan Qayyum sembuh cepat ye …

3 thoughts on “Pengalaman Beraya di Hospital”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge