Doa Ibu Bapa Untuk Anak Menghadapi Peperiksaan

Assalamualaikum. Alhamdulillah sudah seminggu umat islam berpuasa. Syukur masih diizinkan bernafas.

Hari ini hati saya nerveous. Anak dara saya sedang menghadapi Percubaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan Sungai Pelong. Biasalah..hati Mama dia yang lebih gundah gulana berbanding tuan punya badan.

Sejujurnya masa ujian Jun yang lepas keputusan kakak Balqis cuma mendapat 4B 1C sahaja. Tapi lebih baik dari ujian sebelum itu. Latihan sudah. Kelas tambahan sudah. Tusiyen juga sudah. Hanya iringan doa saya untuk kakak Balqis setiap hari.

Mari saya kongsikan Doa Ibu Bapa Untuk Anak Menghadapi Peperiksaan. Terima kasih pada Maria Firdaus kerana sudi berkongsi.

Untuk semua jenis peperiksaan samada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan sebagainya. Mari kita amalkan.

Ya Allah, Ya Tuhan Kami,

Kami mohon keampunan Mu, kami mohon kerahmatan Mu, kami mohon taufik dan hidayah Mu ya Allah.

Ya Allah, Ya Tuhan Kami,

Kau ampunkanlah dosa kami, dosa kedua ibu bapa kami, dosa anak anak kami, dosa saudara mara kami, dosa ahli keluarga kami, dosa guru guru kami dan dosa semua kaum muslimin dan muslimat.

Ya Allah, Ya Tuhan Kami,

Permudahkan urusan kami di dunia dan urusan kami di akhirat. Jadikanlah kami manusia yang sentiasa bersyukur kepada Mu. Jadikanlah kami manusia yang sentiasa mencintai Mu ya Allah. Ya Allah, jadikanlah apa yang kami lakukan ini sebagai suatu amal ibadah yang diterima Mu.

Ya Allah, Ya Tuhan Kami,

Ikhlaskan hati anak anak kami untuk mempelajari ilmu Mu. Tetapkan niat dihati mereka agar apa yang mereka lakukan ini semata mata kerana Mu ya Allah. Semata mata kerana Mu ya Allah. Semata mata kerana Mu ya Allah. 

Ya Allah,

Kami mohon kepada Mu, permudahkanlah mereka faham apa yang diajar oleh guru-guru mereka ketika mereka berada di dalam kelas. Lapangkanlah dada mereka untuk menerima ilmu Mu ya Allah.

Ya Allah,

Tidak lama lagi, anak anak kami akan menduduki peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan peperiksaan-peperiksaan lain ya Allah. Kami mohon kepada Mu ya Allah, bantulah anak anak kami dalam peperiksaan yang akan mereka hadapi ya Allah.

Ya Allah,

Peliharalah kesihatan anak anak kami dihari peperiksaan nanti. Permudahkanlah mereka menjawab soalan ketika peperiksaan nanti. Berikanlah ketenangan kepada mereka ketika menjawab soalan, jauhilah mereka daripada perasaan resah dan gelisah ketika menjawab soalan peperiksaan. Dorongkanlah hati mereka untuk menjawab setiap soalan sepertimana skema jawapan.

Ya Allah Ya Tuhan Kami,

Lembutkanlah hati pemeriksa yang memeriksa kertas jawapan anak kami nanti. Dorongkanlah hati dia untuk memberi markah yang lebih kepada anak anak kami. Tutuplah matanya daripada melihat kesalahan yang anak kami lakukan.

Ya Allah,

Berilah keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan anak anak kami. Mudah-mudahan dengan keputusan yang cemerlang ini, mereka dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi lagi, semoga ia sebagai pembuka jalan untuk mereka menjadi hamba Mu yang soleh dan menghampirkan diri mereka kepada Mu.

Jadikanlah anak anak kami pelajar yang cemerlang ya Allah, cemerlang di dunia dan cemerlang di akhirat. Kami mohon kepada Mu, Kau perbaikilah akhlak anak anak kami. Jadikanlah mereka pelajar yang cemerlang dan mempunyai sahsiah diri yang baik. Tanamlah sifat mahmudah dalam diri mereka dan buanglah sifat mazmumah dalam diri mereka.

Ya Allah, jadikanlah anak anak kami seorang pemimpin di kalangan orang yang bertakwa. 

Ya Allah,

Apa yang kami doakan ini bukan untuk diri anak anak kami sahaja, tetapi apa yang kami doakan ini juga untuk anak anak sahabat ku ya Allah. Berikanlah mereka kejayaan yang cemerlang di dunia dan di akhirat.

Ya Allah,

Sesungguhnya, anak kami inilah harapan kami. Kami mahu mereka Berjaya ya Allah. Kami mahu mereka mengubah nasib keluarga kami ya Allah. Berikanlah taufik dan hidayah Mu yang berkekalan ya Allah.

Ya Allah,

Jadikanlah anak kami anak yang soleh ya Allah. Yang menyejukkan mata kami memandangnya ya Allah. Jadikanlah anak kami ahli syurga ya Allah. Dorongkanlah hati mereka untuk melakukan amalan amalan yang membawa mereka ke syurga Mu ya Allah. Jauhkanlah hati mereka daripada melakukan amalan amalan yang membawa mereka ke neraka Mu ya Allah. Tetapkan lah hati mereka untuk menunaikan solat. Janganlah Kau melalaikan mereka dengan perkara perkara yang tidak berfaedah ya Allah.

Ya Allah,

Kami tidak mampu untuk mengawasi anak anak kami setiap waktu ya Allah. Kami serahkan anak kami untuk berada dibawah penjagaan Mu ketika mereka tidak bersama kami ya Allah. Gerakkanlah hati mereka untuk berada di tempat tempat yang Engkau redhai. Dan jauhilah mereka daripada berada di tempat tempat yang Engkau murkai.

Ya Allah,

Perkenankanlah doa doa kami ini. Kami memohon kepada Mu kerana Engkaulah tuhan kami. Kami meminta kepada Mu kerana Engkaulah yang menciptakan kami. Kami merayu kepada Mu kerana Engkaulah yang Maha Mengkabulkan doa doa kami ini. Jika Engkau tidak memakbulkan doa kami ini, siapa lagi yang akan memakbulkannya. Jika Kau tidak mendengar doa kami ini, siapa lagi yang akan mendengarnya. Bantulah kami ya Allah. Ya Rahman. Ya Rabbul Alamin.

image31 Doa Ibu Bapa Untuk Anak Menghadapi Peperiksaan

Wish for me :)

Dugaan anak-anak ini menghadapi Percubaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dalam bulan Ramadhan. Semoga mendapat keberkatan sempena bulan yang mulia ini. Amin.

Mama sentiasa doakan yang terbaik buat kakak Balqis. Semoga apa yang Mama dan kakak doakan akan dimakbulkan Allah.InsyaAllah.

15 thoughts on “Doa Ibu Bapa Untuk Anak Menghadapi Peperiksaan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

CommentLuv badge